Bintang Hati.
Saya hairan. Ini kali pertama saya melihat langit Kg. Baru punya bintang. Walaupun tidak sebanyak bintang-bintang di langit Masjid Tanah, hati saya rasa tenang. Sedikit ngilu bila angin menampar-nampar badan. Seperti wujudnya lagi lompong, tapi mungkin kali ini lompong itu saiznya kecil sahaja.
"Kau rindu Masjid Tanah, Lely?".
Kaki bertanya soalan yang dia sendiri tahu apa jawapannya. Semestinya saya rindu Masjid Tanah. Saya diam dan terus mendongak mengira bintang. Banyak juga bintang.
"Lely, sudah sampai masa,".
Saya berhenti mengira bintang.
"Kau tak penat? Kau perlu hentikan semua ini,".
Saya kehilangan kata-kata. Jujur, saya rasa penat, lelah.
"Tapi Kaki, tanpa harapan apa erti hidup manusia? Bukan kah manusia sifatnya hamba? Yang sentiasa berharap pada Tuhan yang Maha Pencipta?".
Saya dengar Kaki mengeluh. Dan Kaki terus diam. Sampai satu masa saya terasa penat mendongak ke langit.
"Kaki?".
Kaki tertawa kecil.
"Sejak bila kau jadi bodoh begini Lely?". Saya tersenyum sahaja. Saya tahu kenapa Kaki kata begitu. Dan saya mengaku saya bodoh.
"Berharap atau harapan itu tidak salah. Meletakkan harapan atau berharap pada manusia itu salah,".
Kaki benar. Saya mengaku kadangkala saya meletakkan pengharapan pada manusia itu. Kadangkala saya lupa yang perbuatan saya salah. Berharap pada manusia itu melelahkan. Kerna apalah daya yang ada pada manusia itu.
"Kaki, susah untuk aku melupakan,". Saya dengar Kaki tertawa lagi.
"Adakah sekarang kau menyesali sifat degil yang ada pada kau sejak kecil itu Lely?".
Ibarat kotoran degil yang ada pada baju. Sukar untuk ditanggalkan. Kadangkala kotoran itu hanya mampu pudar, kesan masih ada. Kalau manusia itu ibarat kotoran degil, ia sudah ada pada hati sejak saya 7 tahun. Tatkala guru bertanya soalan 'Mengapakah perkataan ini dimulakan dengan huruf besar?', pantas dia mengangkat tangan meminta izin untuk memberi jawapan 'Kerana ia kata nama khas, guru'. Seingat saya, cuma sekali dia memanggil saya dengan nama saya 'Laily'. Diam-diam saya perhatikan dia, tatkala rakan lain tertawa terbahak-bahak, dia senyum sahaja. Seingat saya, ketika di sekolah rendah, dia hanya bercakap kasar dan sinis dengan saya. Paling menyakitkan hati, bila dia kata saya orang utan kerana tangan saya ada bulu roma yang lebat. Tapi lewat darjah 6, dia pernah tolong saya lipat kertas untuk buat origami burung. Origami itu saya simpan baik-baik dalam almari kaca, tapi mungkin sepanjang pemergiaan saya ke sekolah berasrama, origami itu telah diranapkan.
"Tapi Lely, sudah sampai masa untuk tinggalkan itu semua. Seperti bintang, ada masa luput, walaupun mengambil masa bertahun-tahun,".
"Baiklah Kaki. Kali ini, aku tak kan berusaha untuk menanggalkan kotoran degil itu. Mungkin yang perlu ialah menggantikan hati ini dengan hati yang baru,".
Malam itu saya bermimpi, saya memetik bintang dari langit. Saya pakaikan bintang itu dengan hati saya dan meletakkan bintang itu kembali ke tempat asalnya. Selagi bintang itu masih hidup, hati dan 'kotoran degil' itu juga hidup. Saya cuma boleh berharap, ketika bintang itu mati, saya sempat menumbuhkan hati yang baru. Ternyata jalan yang saya pilih masih panjang.
Comments