Saya seekor kucing.

Lewat petang saya berjalan pulang dari fakulti. Perjalanan saya itu memerlukan saya berjalan di hadapan sederet kedai-kedai yang terdiri daripada kedai perabot, kedai dobi, kedai cetak dan juga hotel murahan. Selalunya tika jalan di deretan kedai itu, saya hanya pandang ke hadapan sahaja. Kata kawan saya, abang-abang di kedai perabot itu suka mengusik. Yang pasti sejak saya menggunakan laluan itu, hampir tiap hari, tidak ada yang mengusik. Al maklum saja lah, saya tak secomel kawan itu. Tapi, hari ini, ketika melewati kedai perabot, saya ternampak seekor kucing di celah-celah pasu. Kelihatan kucing itu seperti sedang menguis-nguis. Saya fikir, kucing mahu melepaskan hajat. Ternyata tidak, kucing seterusnya merebahkan badan seperti senang-senang aja mahu berehat.

Itu kucing. Saya jadi cemburu dengan kucing. Walaupun saya boleh saja merebahkan badan dan berehat-rehat gaya kucing itu, namun rasanya fikiran saya tidak boleh berehat. Adakah kucing itu fikirannya kosong? Adakah kucing tak fikir apa-apa permasalahan? Atau memang kucing hidupnya tiada masalah. Mungkin juga, kucing area Chow Kit senang untuk mendapat makanan. Senang juga untuk mendapat teman sepermainan, malahan senang juga untuk berpacaran. Saya terfikir, jikalau kucing ada masalah, adakah kucing akan berdoa pada Allah? Adakah kucing mengadu pada Allah? Mungkin ya, mungkin tidak. Adalah menjadi masalah pada kucing jika terdapat manusia yang suka memukul-mukul dan menganiaya kucing. Mungkin kucing mengadu pada Tuhan Pencipta Alam diam-diam dalam hati. Tapi, walaupun tanpa mengadu, Allah kan Maha Mengetahui. Setiap perbuatan jahat atau aniaya, Allah tahu. Allah memang tahu.

Jadi, kenapa saya perlu bersedih dengan setiap ujian yang datang pada saya. Allah itu Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang saya lakukan, dan apa yang penzalim lakukan. Saya hanya perlu redha. Itu yang hati saya katakan. Redha itu walaupun perkataannya hanya mempunyai 5 huruf, maksudnya berat. Penghayatannya berat. Saya sedih sekarang mungkin kerana saya belum sepenuhnya redha dengan segala macam ujian ini. Semoga Allah memberi saya petunjuk dan jalan untuk menjadi hamba yang redha. Saya yakin satu hari nanti, saya akan melalui segala ujian ini dengan tenang. Saya yakin boleh! Hanya masa menjadi penentu. Insya-Allah.

p/s: Saya masih cemburu dengan kucing yang suka melepak itu.Kucing yang tak perlu bersusah payah belajar untuk mendapatkan ijazah sarjana. Haih kucing.


Comments

ita athirah said…
aku jugak jeles dengan kucing tu. tapi ada org rezekinya mura, ada orang rezekin berat. kita di pihak mana? berdoa je la..dan redha. aku rasa aku dah nak kerja! itu saja.. hihi~

Popular posts from this blog

Eh hello! I'm back kekekekeke

Hikmahnya