Saya sedih.

Satu petang. Saya hanya duduk saja atas pangkin sambil memerhati ombak laut. Saya rasa rindu dengan Kaki. Entah berapa lama saya tidak berbicara dengan Kaki. Saya rindu Kaki.

"Aku fikir kau tak perlukan aku Lely,". Itu suara Kaki.
Saya senyum sahaja. Untuk berkata-kata, hati saya terasa berat.

"Kau sihat Lely?". Ada bunyi-bunyi risau di hujung suara Kaki.
"Sihat. Kalau tak sihat, mesti aku di hospital kan,". Saya dengar Kaki ketawa. Lama.

"Tak sangka kau pandai berseloroh lagi. Hati sihat? Otak sihat?".
Itu rupanya maksud Kaki. Malang sekali, hati dan otak saya tidak begitu sihat.

"Aku sedih Kaki. Kadang-kadang rasa macam putus harapan,".
Saya dengar Kaki mendengus. Mungkin Kaki tidak suka dengan apa yang saya baru katakan. Jujurnya itu yang saya rasa. Jika tidak lama dahulu, saya sering merasakan hidup saya indah dan saya memang tidak punya banyak masalah, cuma masalah kecil-kecilan yang boleh saya persetankan sahaja. Kini, jika hidup saya itu ibarat satu perjalanan, perjalanan yang saya tempuh sekarang seakan-akan saya berada dalam satu tempat yang asing, kosong, sepi, dan menjunam ke bawah. Seakan-akan tidak ada tempat untuk saya melepaskan lelah dan saya rasa keseorangan.

"Aku ada saja di sini Lely. Kenapa perlu cari jauh-jauh? Lihat sahaja sekeliling kau, pasti ada yang boleh untuk dijadikan teman berbicara,".
Saya jadi hampir ketawa mendengar Kaki berkata-kata begitu. Jarang Kaki mengeluarkan suara-suara simpati begitu.

"Kau tahu Kaki, aku doa banyak-banyak pada Tuhan supaya tidak menguji aku dengan dugaan seberat ini. Aku kata Tuhan yang aku ni tidak tabah, tidak mampu untuk menghadapi dugaan sebegini, jadi jangan bagi ujian ini. Kan orang selalu cakap, dalam Alquran ada mengatakan bahawa Allah memberi ujian yang mampu untuk hambaNya. Tapi akhirnya ujian yang aku sangat takutkan itu datang juga. Ujian yang tak pernah sekali terlintas dalam fikiran aku Kaki,".
Dada saya terasa berat. Saya tarik nafas dan keluarkan keluhan panjang. Ringan sedikit rasanya.

"Naif juga kau ni Lely. Tapi aku paham, bila kita takut untuk menghadapi kenyataan yang memeritkan, kita jadi berdoa sebegitu. Seolah-olah kita mahu mengelak dari ujian itu,".
Saya senyum sahaja mendengar kata-kata Kaki. Bila difikirkan sekarang, saya rasa itu bukan doa yang sepatutnya. Saya patut berdoa supaya Tuhan memberikan saya ketabahan, kesabaran dan kekuatan untuk menghadapi semua.

"Aku sudah boleh menghadapi kenyataan sekarang, cumanya aku seperti hilang arah dalam hidup. Apa perlu aku habiskan pengajian sarjana? Perlu ke aku mengejar cita-cita, kesenangan, dan segala-segala yang dikejar oleh orang lain? Aku rasa macam mahu berhentikan semua ini seketika Kaki. Ibarat aku menaiki tren laju yang tidak ada perhentian selagi aku tidak tahu mana destinasi untuk dituju,".
Kaki ketawa. Saya tidak pasti apa yang kelakarnya.

"Lely, kau bercakap seolah-olah kau ada cita-cita. Haha tapi aku paham, kau sekarang lebih banyak membuang masa sebab keutamaan kau seakan-akan hilang semua. Atau kau banyak berfikir mengenai ujian yang Tuhan berikan ini sampai tak boleh fokus pada benda-benda lain. Mungkin saat ini, kau perlu minta pada Tuhan supaya terangkan hati kau, dan kembali fokus pada benda-benda yang perlu kau buat. Tren laju tak boleh berhenti selagi kau tidak bersedia untuk sampai ke destinasi,".
Saya akui ada benarnya kata-kata Kaki. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk memulakan semuanya semula. Ringan kan bebanku Ya Allah. Sesungguhnya aku redha dengan semua yang kau beri.

"Aku sedih Kaki. Sedih sangat,".

"Kalau sedih kita menangis Lely. Menangis sepuas-puas hati. Dan bersabarlah,".

Saya sangat sayangkan emak saya. Ujian yang saya rasa berat ini, sebenarnya lagi berat untuk emak saya tanggung dan menyakitkan emak secara fizikal. Semoga emak saya lebih diberikan kekuatan dan ketabahan oleh Tuhan untuk menghadapi semua. Ya Allah, sembuhkanlah emak dari penyakitnya.

p/s : untuk yang membaca, saya mohon anda mendoakan kesejahteraan untuk emak saya. Terima kasih. Semoga Allah membalas jasa baik kalian.

Comments

Popular posts from this blog