Tak tahu malu.
Menjelang malam hari, saya sakit kepala. Semalam saya demam teruk, tetapi setelah menelan ubat demam + actifast 6 biji, panas badan saya reda ke suhu 36.5 darjah celcius. Sakit kepala saja yang berulang-ulang. Kerusi goyang-goyang yang baru mak saya beli sangat menyelesakan sambil saya rajin melayari internet melihat perkembangan semasa seluruh dunia.
Apa yang saya baca, lihat dan dengar kadang-kadang sangat meyedihkan. Mungkin biasa bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi saya. Remaja sekarang saya lihat sudah kurang sifat malu dan lebih biadap. Sesetengah merasa malu untuk mempunyai sifat malu. Boleh dikatakan mereka-mereka ini sangat bangga dengan sifat berani yang sering mereka pertontonkan di khalayak ramai. Ya lah, bak kata orang malu biarlah bertempat, tapi saya rasa 'tidak tahu malu' pun biarlah bertempat.
Satu petang di kelas agama yang saya hadiri pada usia 11 tahun, Ustazah Rohana mengajarkan pelajaran Jawi berpandu buku teks Jawi. Tajuk pelajaran Jawi pada hari itu ialah, Sifat Malu. Ustazah Rohana itu mukanya bentuk bulat, tudungnya pun bulat, tingginya biasa-biasa sahaja. Orangnya sangat lembut, percakapannya menyenangkan, dan segala menyenangkan tentang Ustazah Rohana. Petang itu Ustazah memberitahu bahawa, sifat malu itu penting. Malu itu umpama pakaian diri kita. Kalau hilang sifat malu itu, umpama kita mendedahkan perihal diri kita pada semua orang. Hilangnya sifat malu boleh membuatkan akhlak kita terjejas. Sifat malu boleh meninggikan nilai peribadi secara tidak lansung orang akan hormat pada kita.
Saya dengar dan cuba memaham dan mengingatkan semua yang dikatakan Ustazah Rohana sekaligus. Moga-moga soalan tentang sifat malu ini keluar dalam ujian bulanan bulan hadapannya. Ustazah menyambung kembali pengajaran dengan bercerita tentang pengalamannya. Kata Ustazah, ketika dahulu dia sangat malu untuk bercakap-cakap dengan orang lelaki, untuk duduk bersebelahan dengan orang lelaki pun dia malu. Sambil itu lirikan matanya tepat ke arah saya. Saya terpanah. Saya tunduk malu. Saya seorang sahaja pelajar perempuan yang dalam kelas itu duduk bersebelahan pelajar lelaki. Oh itu semua bukan kehendak saya, Ustaz Sazali yang menjadi guru kelas saya mengaturkan tempat duduk pelajar-pelajar nya. Kata Ustaz, saya banyak cakap, Ustaz fikir lepas saya diletakkan sebelah budak lelaki saya akan menjadi lebih diam di dalam kelas. Itu kata Ustaz, dan saya memang tidak malu untuk berbicara dengan pelajar lelaki tersebut malah boleh gelak ketawa dengan budak lelaki itu. Hehe. Taktik Ustaz memang tidak menjadi.
Tetapi setelah ditegur Ustazah Rohana, saya berazam untuk lebih menanamkan sifat malu dalam diri. Ustazah juga pesan, malu itu biar bertempat, asal kita paham konsep perlunya malu dalam diri kita cukup. Seperti, malu untuk megeluarkan kata-kata kesat, malu untuk bergurau berlebih-lebihan sama ada antara kaum sejenis atau berlainan jenis, malu untuk meninggikan suara terhadap orang yg lebih tua, dan sebagainya. Pendek kata malu itu perlu untuk menjaga maruah/harga diri sebagai seorang perempuan terutamanya. Saya sendiri paham, kadang-kadang kita sering terbuang sifat malu, tapi cepat-cepatla ambil kembali dan pakai sifat malu itu semula ye. Banyak negatifnya jika tidak tahu malu tidak bertempat.
Itu kisah lebih 10 tahun yang lalu, tapi buku teks jawi masih ada disimpan di rumah nenek. Ustaz dan Ustazah saya mungkin sudah bersara. Moga mereka dalam keadaan sihat2 sahaja dan berada dalam lindungan Allah SWT dan semoga kita semua juga dirahmati Allah SWT dan sentiasa ingat untuk memakai sifat malu.
Entri seumpama ini adalah untuk peringatan diri saya dan sesiapa sahaja yang sudi membaca. Segala yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri.
Wassalam
Salam sayang,
Laily, Bubuk, Esahbeli & Bulat & Keanu.
Comments